Belum pun Sukan Komanwel 2018 bermula, kontroversi telah tercetus membabitkan atlet tinju dari India yang didakwa menggunakan bahan terlarang selepas jarum suntikan dijumpai di sekitar kawasan kediaman di Gold Coast.

Perkara itu dilaporkan oleh beberapa media Australia dan India selepas jarum suntikan itu dijumpai petugas kebersihan di perkampungan sukan.

Insiden itu memaksa 12 atlet tinju India melalui ujian anti doping dengan keputusannya bakal diketahui lewat petang ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi, Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), David Grevenmberg, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi bentuk hukuman yang akan dikenakan jika keputusan ujian belum dikeluarkan.

"Laporan daripada Pesuruhjaya Perubatan CGF selepas rundingan mendapati bahawa ada pelanggaran polisi dan selepas ini mesyuarat akan dijalankan di antara CGF dan Pesuruhjaya Perubatan," katanya dalam sesi sidang media pertama di Pusat Konvensyen dan Pameran Gold Coast, hari ini.

Grevenmberg menjelaskan, jika India terlepas hukuman daripada doping, mereka tetap melakukan satu kesalahan kerana membawa jarum suntikan tanpa kebenaran dalam perkampungan sukan.

"Denda masih sedang dipertimbangkan tetapi ia tertakluk kepada CGF untuk menentukan cara dan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini," katanya lagi.

Sukan Komanwel yang melibatkan 275 acara daripada 19 jenis sukan akan membuka tirainya secara rasmi pada Rabu ini.