ARSENAL 2 CRYSTAL PALACE 2

Alexandre Lacazette menjaringkan gol penyamaan dramatik untuk memastikan Arsenal meraih satu mata selepas terikat 2-2 dengan Crystal Palace dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

The Gunners bermula baik dalam perlawanan di Stadium Emirates itu apabila Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol pembukaan -- jaringannya di laman sendiri buat kali ketiga berturut-turut.

Bagaimanapun, Palace -- yang dibimbing legenda Arsenal, Patrick Viera -- kembali menyamakan kedudukan menerusi penyudah Christian Benteke sebelum berada di depan hasil jaringan Odsonne Edouard.

Namun, ketika Arsenal diambang kekalahan, pemain gantian, Lacazette, menjaringkan gol dramatik menerusi sepakan terakhir dalam perlawanan itu untuk pasukkannya melebarkan rekod tanpa kalah kepada enam perlawanan berturut-turut dalam kesemua kejohanan.

Arsenal turun dengan misi memburu kemenangan keempat berturut-turut di laman sendiri dan berada di depan seawal minit kelapan.

Menerusi satu sepakan penjuru, penjaga gol Palace, Vincente Guaita, bertindak tangkas untuk menepis sepakan lencong Nicolas Pepe tetapi Aubameyang berada di kedudukan tepat untuk memanfaatkan bola muntah itu, yang disudahkan ke gawang lawan dari jarak dekat.

Memburu kemenangan pertama daripada tujuh percubaan di bawah kendalian Viera -- yang memenangi tiga gelaran EPL bersama The Gunners -- Palace memberikan respons sebelum waktu rehat.

Bagaimanapun, sepakan leret Benteke tepat menuju ke arah penjaga gawang, Aaron Ramsdale, yang turut mempamerkan aksi cemerlang ketika menolak keluar percubaaan Connor Gallagher pada penghujung separuh masa pertama.

Namun, tiada apa dapat menghalang Benteke daripada menjaringkan gol pertamanya musim ini selepas lima minit perlawanan bersambung, di mana bekas penyerang Liverpool itu memanfaatkan kesilapan Thomas Partey, yang menerima tekanan daripada Jordan Ayew.

Arsenal dihukum sekali lagi pada minit ke-73 apabila Albert Sambi Lokonga kehilangan bola untuk Gallagher memulakan gerakan serangan balas dan Michael Olise melorongkan bola buat Edouard, yang menewaskan Ramsdale menerusi rembatan ke arah bawah palang gol.

Namun, kemenangan Palace dinafikan pada minit kelima waktu kecederaan apabila Lacazette menggunakan sepenuhnya bola muntah susulan percubaan awal Ben White untuk memastikan satu mata buat Arsenal.