Pemain baru Juventus, Gleison Bremer, menjadikan legenda Bianconeri, Giorgio Chiellini, sebagai sumber inspirasinya selepas menggantikan Matthijs de Ligt yang memilih beraksi bersama Bayern Munich di Stadium Allianz.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri itu kehilangan bintang Belnda tersebut minggu, tetapi segera bertindak mengukuhkan benteng mereka dengan pembelian Pertahanan Terbaik Serie A 2021-22 berkenaan.

Beraksi untuk musuh setempat Juve, Torino, Bremer mengetuai mana-mana pertahanan liga utama Eropah menerusi 105 pintasan ketika membuat 33 penampilan Serie A musim lalu selain menyumbang rekod lapan perlawanan tanpa bolos.

Juventus dilaporkan komited untuk membayar €40 juta (RM181.9j) beserta bonus ke atas pemain Brazil itu yang akan menyarung jersi nombor tiga yang dikosongkan Chiellini selepas pemenang Euro 2020 tersebut berkelana ke Los Angeles FC.

Bremer memberitahu saluran media kelab bahawa dia berusaha untuk mencontohi pemain berusia 37 tahun itu yang disifatkannya sebagai pertahanan terbaik yang pernah dilahirkan Itali.

“Juventus merupakan sebuah pasukan yang sentiasa mahu menang dan saya juga mempunyai cita-cita begitu,” katanya.




“Saya sempat berborak dengan Chiellini dan saya memutuskan Juventus adalah pasukan terbaik.

"Saya juga mempunyai seekor anjing berwarna hitam dan putih! Ia adalah dalam takdir saya.

"Chiellini adalah pertahanan terbaik Itali, saya selalu berkata begitu. Jadi saya terinspirasi sedikit daripadanya dan saya akan cuba mengulangi pencapaiannya."

Selepas memenangi sembilan kejuaraan liga berturut-turut di antara 2011-12 dan 2019-20, gergasi Turin itu meraih tempat keempat berturut-turut dalam kempen Serie A.

Begitupun, Bremer percaya kehadiran bintang seperti Angel Di Maria dan Paul Pogba telah meyakinkannya tentang peluang mereka untuk memenangi trofi musim depan.

Bek tengah itu yang juga kerap dikaitkan dengan Inter menambah: "Apabila saya melihat Pogba dan Di Maria tiba, saya tidak ragu-ragu tentang siapa yang harus dipilih.

“Kami adalah pasukan yang dibentuk untuk menang.

"Saya sentiasa mahu menang, Scudetto, Liga Juara-Juara. Inilah matlamat saya."