Pertahanan Atletico Madrid, Jose Gimenez, kini dalam kesuntukan masa mencari kecergasaan untuk bermain menentang Real Madrid dalam separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, Selasa ini, selepas mengalami kecederaan otot.

Gimenez terpaksa dikeluarkan pada separuh pertama ketika Atletico membelasah Las Palmas 5-0 dalam saingan LaLiga di Estadio de Gran Canaria, awal hari ini.

Pemain antarabangsa Uruguay itu mengalami kecederaan ketika bersaing dengan Kevin-Prince Boateng pada minit ke-25 dan dia digantikan dengan Thomas Partey.

Atletico perlu menunggu ujian lanjut pada kaki kiri Gimenez bagi menentukan tahap kecederaan.

Skuad Diego Simeone yang membuat lawatan ke Santiago Bernabeu Selasa ini, berazam untuk membalas dendam berikut kekalahan menyayat hati kepada jiran Madrid itu dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara musim lalu akibat tewas menerusi penentuan sepakan penalti.