BAYER LEVERKUSEN 1 RANGERS 0
(Leverkusen mara dengan agregat 4-1)

Pengurus Rangers, Steven Gerrard, percaya bintang depan, Alfredo Morelos, terbawa-bawa dengan spekulasi mengenai masa depannya.


Morelos beraksi selama 77 minit ketika menentang Bayer Leverkusen awal pagi tadi, tetapi gagal melanjutkan koleksi 14 golnya selepas kempen Liga Europa mereka musim ini berakhir.

Moussa Diaby meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-55 dalam pertembungan di BayArena itu untuk menyimpulkan agregat 4-1 buat tuan rumah ke suku akhir.

Morelos kerap dikaitkan dengan perpindahan ke kancah Ligue 1, Lille, lebih-lebih lagi dengan tindakan Rangers menandatangani penyerang, Kemar Roofe dan Cedric Itten, awal minggu ini yang ditafsirkan bahawa mereka sudah bersedian kehilangan pemain Colombia berusia 24 tahun itu.

Ditanya BT Sport adakah Morales akan kekal minggu depan, Gerrard menjawab: "Saya tidak tahu, saya tidak dapat mengawal apa yang berlaku di luar.

"Semua orang tahu fikirannya sudah melayang ke arah lain. Sudah tentu, ia tidak dapat dinafikan lagi.

"Tetapi kami akan terus mara ke depan. Tumpuan saya adalah kepada pasukan selain pemain yang ingin berada di sini dan tumpuan saya pastinya kepada St Mirren (perlawanan Rangers yang seterusnya).

"Sekiranya ada tawaran yang ahli lembaga pengarah suka dan berminat, malah pemain sendiri memberitahu saya bahawa mereka ingin pergi maka kami akan melihat apa yang berlaku."



Gerrard, bagaimanapun, menolak cadangan bahawa prestasi longlai anak buahnya itu menjadi punca disingkirkan Leverkusen.

"Saya tidak fikir begitu. Saya rasa Alfredo cukup profesional untuk menyekat khabar angin itu dan fokus," katanya.

"Dia tidak beraksi baik malam ini tetapi sebagai sebuah pasukan, kami juga begitu.

"Tidak perlu menuding jari kepada sesiapa pun. Kami sudah melakukan yang terbaik dan malangnya kami gagal.

"Kami semua perlu memperbaiki diri tetapi Alfredo harus tetap fokus."