Georginio Wijnaldum menyertai Jose Mourinho di Roma dalam perjanjian pinjaman selama semusim selepas tahun pertama yang sukar menyarung jersi Paris Saint-Germain (PSG).

Kelab Serie A itu mengesahkan menandatangani Wijnaldum, malam tadi, lebih setahun selepas dia berpindah ke PSG dari Liverpool sebagai ejen bebas.

Roma mempunyai pilihan untuk menandatangani pemain tengah Belanda itu secara tetap di penghujung kempen 2022-23.

Ketibaannya menyaksikan pemain tengah, Jordan Veretout, meninggalkan Giallorossi untuk menyertai kelab Ligue 1, Marseille.

Wijnaldum memilih PSG pada Jun 2021 sebaik kontraknya bersama The Reds berakhir biarpun turut menerima tawaran daripada kelab yang diminatinya, Barcelona.

Namun, Wijnaldum bergelut untuk memberi impak di Perancis apabila hanya memulakan 22 perlawanan selain persembahannya kerap mengundang kritikan.





Dia sempat merekodkan tiga gol dan mencipta tiga bantuan jaringan dalam 16 penampilan dari bangku simpanan, tetapi bagi pengurus, Christophe Galtier, yang menggantikan Mauricio Pochettino bulan lalu lebih cendurung untuk menjana keuntungan ke atasnya.

Wijnaldum merupakan pemain utama Liverpool apabila memulakan 34 daripada 38 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam musim terakhirnya di Anfield.

Di PSG, dia digantikan sebanyak 15 kali musim lalu sementara Angel Di Maria (18 kali) ditukarkan lebih kerap.