Real Madrid mengesahkan lima lagi ahli pasukannya diuji positif COVID-19.

Los Blancos semalam mengesahkan bahawa Luka Modric dan Marcelo terpaksa menjalani kuarantin selepas didapati positif ujian saringan virus berkenaan.

Selepas pasukan bola keranjang mereka turut terjejas dengan jangkitan itu, akhbar yang berpangkalan di Madrid, Marca, melaporkan hari ini bahawa kelab itu gusar penularan berkenaan akan menjejaskan sepenuhnya kem latihan mereka di Valdebebas.

Pasukan utama mereka kini mempunyai sekurang-kurangnya tujuh ahli yang dijangkiti koronavirus.

Gareth Bale, Marco Asensio, Andriy Lunin dan Rodrygo merupakan pemain terbaru dijangkiti COVID-19 sementara anak kepada Carlo Ancelotti merangkap pembantu teknikal pasukan itu, Davide, merupakan staff kejurulatihan yang berada dalam senarai berkenaan.

Kesemua mereka akan terlepas dua perlawanan terakhir Madrid tahun ini -- kunjungan ke laman Cadiz hujung minggu ini dan aksi di gelanggang Athletic Bilbao tiga hari kemudian.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan untuk perlawanan Madrid itu ditunda sekiranya mereka tidak mempunyai pemain yang mencukupi andai jangkitan berkenaan menjadi lebih besar.