LORIENT 1 PSG 2

Kylian Mbappe hanya mengalami kepenatan otot ketika Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Lorient 2-1 awal pagi tadi, kata Christophe Galtier bagi mengurangkan kegusaran mengenai keadaan penyerang Perancis itu menjelang Piala Dunia Qatar pertengahan bulan ini.

Gol tandukan lewat permainan Danile Pereira memastikan PSG kini berkelebihan lima mata di kedudukan teratas Ligue 1 selepas Terem Moffi memadamkan gol pembukaan Neymar di Stade du Moustoir.

Bagaimanapun, Mbappe mencuri tumpuan apabila dia terus ke terowong pemain selepas dikeluarkan pada minit ke-85.

Perancis sudahpun kehilangan Paul Pogba dan N'golo Kante dalam misi mempertahankan gelaran Piala Dunia, sambil Karim Benzema juga terlepas beberapa perlawanan terakhir bersama Real Madrid berikutan kecederaan, termasuk perlawanan akan datang berdepan Rayo Vallecano.

Galtier, bagaimanapun, meredakan kegusaran itu dengan berkata kepada Amazon Prime Video: "Tiada apa yang serius. Kami ada mendengar berita mengenai Karim tetapi tiada apa yang serius berkenaan Kylian.

"Kylian sudah berusaha. Adalah lebih baik untuk mengeluarkannya daripada mengambil risiko di atas padang atau kekal berada di padang dan langsung tidak dapat bermain."

Dalam sidang media selepas perlawanannya, Galtier mendedahkan bahawa Mbappe hanya menyalami kepenatan berikutan jadual padat yang sedang dilalui PSG.

"Tiada kebimbangan di bahagian tertentu, ia hanya kepenatan gara-gara perlawanan yang berturut-turut. Keadaan untuk bermain ketika ini amat sukar.

"Dia juga keletihan selepas bertemu Juventus pada Rabu lalu. Ia jadual yang amat padat, dengan kebimbangan tertentu.

"Semua orang perlu mengenali tubuh masing-masing menjelang Piala Dunia. Ia boleh menjadi kebimbangan," katanya.