Christophe Galtier menegaskan Kylian Mbappe gembira di Paris Saint-Germain (PSG) sambil mengakui masa depan Lionel Messi bersama gergasi Perancis itu kabur.

Mbappe merupakan penjaring terbanyak Ligue 1 musim ini dengan 12 gol -– satu jaringan di depan rakan sepasukan, Neymar -– manakala Messi mendahului carta bantuan jaringan dengan 10 gol selain tujuh kali menemui sentuhan penyudah.

Pemain antarabangsa Perancis itu kerap dikaitkan dengan perpindahan percuma ke Real Madrid musim lalu tetapi akhirnya menandatangani perjanjian baru selama tiga tahun bersama juara bertahan Ligue 1 berkenaan, Mei lalu.

Ramai yang percaya kewangan memainkan faktor penting dalam keputusan mengekalkan Mbappe, sementara laporan juga mencadangkan pemain berusia 23 tahun itu baru-baru ini mempertimbangkan semula kedudukannya di kelab berkenaan.

Tetapi Galtier memberitahu Marca: "Saya tidak fikir ia disebabkan wang kerana pemain bertaraf dunia -- sama ada di Sepanyol, England atau Perancis -- juga menikmatinya. Mereka bermain bukan kerana wang. Saya fikir Kylian hanya sayangkan PSG.



"Jika dia gembira, mengapa Kylian tidak perlu berada di sini musim depan? Dari saat pemain itu bergembira di atas padang serta berasakan dalam pasukan yang mampu menang dan menakluki cabaran hebat, tiada sebab untuknya angkat kaki."

Ditanya adakah dia berasakan Mbappe gembira di PSG, Galtier menambah: "Ya, pasti. Dijamin."

Sementara itu, kontrak sedia ada Messi akan tamat pada Jun depan walaupun terdapat pilihan untuk mengekalkannya di ibu negara Perancis tersebut selama setahun lagi.

"Terdapat banyak faktor"," kata Galtier apabila ditanya apa yang diperlukan untuk kapten Argentina itu kekal di kelab berkenaan selepas musim ini.

"Perkara pertama ialah keinginan mereka. Adakah dia mahu teruskan di PSG? Adakah dia gembira di sini? Perkara pertama yang perlu diketahui ialah adakah dia mahu meneruskan kariernya (di sini). Segala keputusan ini akan dibuat di antara pemain dan (Penasihat Bola Sepak PSG) Luis Campos ."