ARSENAL 2 EVERTON 0

Mikel Arteta memuji kemampuan Gabriel Jesus memporak-porandakan benteng lawan ketika penyerang itu meneruskan permulaan mengagumkannya untuk pasukan baru, Arsenal, dalam kemenangan pra-musim ke atas Everton.


Pemain antarabangsa Brazil itu baru-baru ini ditandatangani daripada Manchester City dan kini menemui tiga sentuhan penyudah dalam dua perlawanan ketika Arsenal menang 2-0 di Baltimore, malam tadi.

Jesus, yang menjaringkan dua gol pertamanya bersama The Gunners dalam kemenangan 5-3 ke atas Nurnberg minggu lalu, turut mencipta bantuan jaringan kepada Bukayo Saka untuk gol kedua ke atas Everton.

Arteta kagum dengan impak segera pemain berusia 25 tahun itu, khususnya keupayaannya untuk mengucar-ngacirkan pertahanan lawan.

“Dia mencipta huru-hara, dia mencipta ketidakpastian dan dia sentiasa bersedia,” kata pengurus kelab London itu.

"Dia sentiasa berada di sana untuk merampas bola, sentiasa berada di hadapan gol. Dia adalah ancaman sebenar dan inilah yang kami perlukan.




“Ketika kami menghantarnya bola, dia serta-merta aktif dan memberikan tekanan serta mendorong kemaraan pasukannya.

"Dia mempunyai kemahiran kepimpinan yang tinggi. Saya dapat lihat apa yang dia mampu lakukan terhadap pasukan dan dia seorang pemain yang kami hajati.

"Dia kelihatan sangat tajam, sangat dinamik. Dia mempunyai persefahaman yang sangat baik jadi dia cepat serasi bersama rakan sepasukannya.

"Mereka mencarinya, dia menjana peluang, hubungan baik di sekitar ruang tertentu dan kami mahu mengeksploitasinya dan ya, kami sangat gembira."