Pemain tengah Manchester United, Fred, menafikan bahawa terdapat ketegangan di bilik persalinan Manchester United dan menganggapnya sebagai satu berita palsu.

The Red Devils mempamerkan aksi longlai ketika tewas 0-1 kepada Wolves awal pagi Selasa lalu -- kekalahan pertama di bawah bimbingan Ralf Rangnick -- sehingga timbul desas-desus bahawa beberapa pemain sudah mula memikirkan untuk 'angkat kaki'.

Khabar angin itu mendakwa seramai 17 pemain United sedang memikirkan untuk meninggalkan kelab itu bulan ini atau pada penghujung musim ini.

Nama Fred turut dikaitkan dengan laporan itu, di mana pemain berusia 28 tahun berkenaan hanya diturunkan beraksi selama seminit dalam dua perlawanan liga terakhir walaupun muncul penjaring gol kemenangan ke atas Crystal Palace pada permulaan era Rangnick.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Brazil itu berkata dakwaan berkenaan merupakan sesuatu yang tidak benar dan dia masih gembira bersama kelab itu.

Dia menulis dalam laman sosialnya: "Sepanjang beberapa hari ini, saya ada terbaca beberapa berita palsu melibatkan nama saya dan beberapa atlet MUFC. Saya bukannya seorang yang gemar menjawab soalan kontroversi secara umum tetapi kali ini, saya perlu melakukannya.

"Saya hanya mahu katakan yang saya amat gembira di sini dan saya tidak pernah meluahkan sebarang ketidakpuasan hati dan kemungkinan untuk saya meninggalkan kelab ini.

"Jangan terpengaruh dengan berita palsu. Kami akan terus berusaha dengan dedikasi yang hebat untuk mencapai matlamat kami," katanya.

Fred telah beraksi sebanyak 19 kali dalam kesemua kejohanan musim 2021-22 dan menjaringkan dua gol.

United kini berada di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris selepas 19 perlawanan dan telah tewas sebanyak enam kali.

Mereka akan berdepan Aston Villa bimbingan Steven Gerrard dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA di Old Trafford awal pagi Selasa ini.