Roberto Firmino tiada hasrat meninggalkan Liverpool, secara tidak langsung memberi isyarat menafikan sebarang khabar angin bahawa dia ingin menyertai Juventus.

Gergasi Serie A itu telah dikaitkan dengan khidmat Firmino yang kontraknya hanya tinggal setahun lagi di Anfield.

Dia sebelum ini merupakan tonggak kesebelasan utama di bawah kendalian Jurgen Klopp, tetapi bergelut dengan kecederaan termasuk berdepan perebutan sengit memandangkan Diogo Jota beraksi cemerlang sejak tiba dari Wolves sementara Darwin Nunez yang dipancing daripada Benfica pasti dalam perancangan utama.

Sadio Mane -- memilih menyertai ke Bayern Munich -- turut memainkan peranan penting dalam sebahagian besar musim lalu tatkala Luis Diaz mampu mengisi posisi sayap kiri.

Dengan Jota bakal diketepikan gara-gara kecederaan, Firmino -- yang mengumpul lima gol liga musim lalu -- diketengahkan dalam barisan utama merebut trofi Perisai Komuniti dengan Manchester City semalam yang menyaksikan The Reds menang 3-1.




Dia memberitahu TNT Brazil bahawa dia tidak berhasrat meninggalkan Liverpool.

"Saya sayangkan pasukan ini, bandar dan peminatnya," kata pemain berusia 30 tahun itu.

"Saya berada di Liverpool dan sudah tentu saya mahu kekal."

Firmino beraksi selama 59 minit ketika berdepan City di Stadium King Power yang menyaksikannya melepaskan satu percubaan serta mencipta satu peluang.