Juara 33 kali, Selangor FC, menyifatkan finalis musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT), merupakan pasukan pilihan apabila kedua-dua jagoan Liga Malaysia (Liga-M) itu berentap dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Biarpun begitu, pengendali The Red Giants, Tan Cheng Hoe, menegaskan pemainnya teruja untuk berdepan juara sembilan kali berturut-turut Liga Super berkenaan bagi perebutan kejuaraan penutup tirai saingan Liga-M musim ini.

Jelasnya, Selangor merupakan pasukan bukan pilihan berdepan JDT di pentas perlawanan akhir Piala Malaysia itu, yang sememangnya menjadi perlawanan paling dinantikan.

"Barisan serangan dan pertahanan JDT cukup berkualiti dan ini sebenarnya cabaran kepada pemain Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Namun, saya percaya dengan semangat juang tinggi ditampilkan ketika berdepan Terengganu FC sebelum ini, pemain Selangor mampu meneruskan momentum tersebut di pentas final, sekali gus melakar kejutan.

“JDT tahun ini telah menang banyak piala, cukup konsisten dalam Liga Malaysia, namun saya percaya setiap pemain Selangor akan mengambil tanggungjawab dengan memberikan sepenuh tumpuan dan berdisiplin berdepan JDT walaupun diakui pasukan lawan memiliki kekuatan, terutama di bahagian serangan dan pertahanan.

“Pemain seperti Bergson da Silva dan Fernando Forestieri memang kuat dan pertahanan mereka juga memang cukup kental untuk menghalang Selangor daripada menjaringkan gol, namun apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan akhir,” katanya.

Kali terakhir Selangor mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia adalah pada 2016 tetapi tewas 5-6 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Kedah selepas terikat 1-1 di Stadium Shah Alam.

Edisi 2015 merupakan kali terakhir Selangor menjulang kejuaraan Piala Malaysia dengan menewaskan Kedah 2-0 dalam perlawanan akhir, juga di Stadium Shah Alam.

Kredit: Sinar Harian