Penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Farizal Marliaz, mengakui rekod pertemuan di antara pasukannya dan Selangor FC tidak lagi boleh diambil kira menjelang final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Jelas ketua pasukan Harimau Selatan itu, Selangor kini pasukan yang berbeza dan jauh lebih baik di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe.

Dengan itu, dia berharap barisan pemain JDT akan berwaspada dengan ancaman yang boleh diberikan Selangor sambil berharap faktor cuaca jiga tidak mengganggu perebutan kejuaraan berkenaan.

"Apabila jurulatih Tan Cheng Hoe mula membawa pasukan Selangor, kita dapat lihat perubahan mereka berbanding sebelum ini," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Mereka kini lebih tersusun dan teratur daripada segi bertahan dan serangan. Mereka juga memiliki pemain yang begitu pantas di bahagian sayap, jadi kami perlu berhati-hati dengan serangan balas mereka."

Mengenai faktor cuaca, Farizal menambah: "Ia merupakan merupakan satu masalah yang tidak dapat dielakkan kerana di Malaysia, padang amat penting, jadi apabila hujan, sudah pasti kedua-dua pasukan tidak dapat mempamerkan prestasi seperti yang diharapkan.

"Kami harus bersedia daripada segi cuaca dan sebagainya, di mana kami perlu ada perancangan lain jika cuaca tidak baik dan saya berharap esok tidak hujan."