Pertahanan tengah Selangor, Sharul Nazeem Zulpakar, menggesa rakan sepasukannya berwaspada dengan gandingan tiga penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) menjelang aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Tiga penyerang yang dimaksudkan itu adalah gandingan Bergson dan Silva, Fernando Forestieri dan Arif Aiman Hanapi, yang kelihatan akan menjadi ancaman terbesar buat benteng The Red Giants.

Sharul Nazeem, yang mesra disapa dengan panggilan Afro, akan beraksi dalam final Piala Malaysia pertamanya.

Pemain berusia 23 tahun itu mengakui berasa gugup untuk menghadapi perlawanan besar itu tetapi memberikan jaminan akan kekal fokus untuk menyekat serangan Harimau Selatan dalam usaha menjulang kejuaraan Piala Malaysia ke-34 buat Selangor.

"Ia boleh dikatakan piala terbesar di Malaysia," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Ia juga merupakan kali pertama saya beraksi dalam final Piala Malaysia dan semestinya saya gugup tetapi dalam bola sepak, semua pemain akan berasa gugup, jadi kami perlu cepat membiasakan diri dan fokus dalam mengekang setiap gerakan yang akan dilakukan JDT.

"Kami sedar keupayaan Bergson, Arif Aiman dan Forestieri, mereka gandingan yang amat baik, jadi saya sebagai pertahanan mahu rakan sepasukan untuk fokus terhadap setiap gerakan JDT.

"Selangor sudah lama tidak menjulang piala, jadi saya rasa inilah masa yang terbaik untuk setiap pemain menunjukkan bakat mereka untuk memenangi Piala Malaysia musim ini," katanya.