CELTICS 116 WARRIORS 100
(Celtics dahului 2-1 secara agregat)

Boston Celtics mendahului 2-1 dalam Final NBA apabila mengalahkan Golden State Warriors 116-100 dalam Permainan 3 sebentar tadi.


Di hadapan sorakan padu penyokong tuan rumah, Celtics semakin tajam di hujung serangan yang menyaksikan Jaylen Brown memungut 17 mata untuk pasukannya mendahului 33-22 dalam suku pertama.

Boston belum mahu mengendurkan tempo permainan dengan mengutip 35 mata lagi sambil Warriors terus memberi tekanan dengan melakar 34 mata sekali gus ketinggalan 56-68 dalam separuh masa pertama.

Brown memungut 22 mata, tujuh rebound dan tiga bantuan jaringan sepanjang babak pertama untuk menyamai purata jaringannya pada musim ini iaitu 23.6 mata, 6.1 rebound dan 3.5 bantuan jaringan.

Buat Warriors pula, Klay Thompson memperoleh 15 mata, Stephen Curry menyumbang 14 mata disusuli Andrew Wiggins dengan 13 mata.



Warriors yang sinonim dengan kebangkitan menang 33-25 dalam suku ketiga memberikan tekanan lebih hebat apabila Curry menjaringkan 15 mata dalam tempoh lapan minit.

Mereka mendahului 83-82 dengan mata ke-15 Curry dalam suku itu sebelum Celtics kembali melebarkan kelebihan 93-89 menjelang suku terakhir.

Celtics, bagaimanapun, berhasil mengekang Warriors dengan hanya melepaskan 11 mata dalam suku keempat itu sementara kemasukan Jayson Tatum mencipta sembilan bantuan jaringan untuk mengumpul 26 mata.

Watak sebenar kemenangan mereka di hujung permainan itu adalah Robert Williams III yang melakukan empat hadangan dan tiga rampasan selain menyumbang lapan mata dan 10 rebound.