Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, enggan terlalu yakin menjelang saingan Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF di Bangkok, Thailand bermula 7 Disember depan.

Pasangan negara itu muncul naib juara Kejohanan Terbuka Australia selepas tewas kepada gandingan China, Liu Yuchen-Ong Xuanyi, dalam aksi final pada 20 November lalu.

Bagaimanapun, Yew-Sin dan Ee Yi sedar mereka tidak boleh terbawa-bawa dengan kejayaan ke pentas final berkenaan kerana saingan di Bangkok sudah pasti akan menyajikan cabaran berbeza.

Dalam satu temu bual Nadi Arena, Ee Yi berkata: "Keyakinan itu memang ada tetapi tidak boleh terlalu yakin kerana kejohanan di Australia hanya bertaraf Super 300 sahaja dan ramai pemain ternama tidak menyertainya.

"Keyakinan memang meningkat, jadi kami perlu berusaha dengan lebih kuat kerana Final Jelajah Dunia akan membariskan lapan beregu terbaik dunia, jadi kami perlu bersedia untuk bersaing."

Yew Sin menambah: "Memang awal tahun ini kami sekadar layak ke pusingan kedua tetapi ketika ini ia sudah semakin baik.

"Harap-harap ia akan menjadi lebih baik dalam kejohanan penutup tahun ini.

"Kami berharap dapat bermain dengan lebih baik dengan apa yang kami sudah rancangkan," katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Yew Sin dan Ee Yi bergelar juara adalah dalam Terbuka Thailand pada awal 2020.