Pengarah Kejurulatihan Bahagian Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, menerapkan sistem latihan keras bagi mempersiapkan beregu negara menjelang saingan Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF di Bangkok, Thailand bulan depan.

Ia termasuk pemain negara terpaksa bangun seawal jam 5 pagi untuk memulakan latihan selama enam jam sehingga 11 pagi.

Dalam satu temu bual Nadi Arena, Rexy bekata: "Persiapannya agak bagus, Aaron (Chia) dan (Soh) Wooi Yik, Pearly (Tan) dan (M.) Thinaah memulakan latihan tambahan seawal jam 5 pagi.

"Mereka akan melakukan latihan tambahan selama sejam setengah, kemudian berehat sebelum menyertai latihan bersama pemain lain.

"Dalam Final Jelajah Dunia, lawan mereka semuanya cukup kuat, jadi kami perlu bersedia dan persiapan mereka setakat ini amat bagus," katanya.

Malaysia turut akan diwakili Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dalam acara beregu lelaki selain beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien, juga beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai, bagi saingan di Bangkok berkenaan.