Perjalanan beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, dalam Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF tamat di peringkat separuh akhir selepas tewas kepada pasangan pilihan kedua dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali sebentar tadi.

Berdasarkan rekod, pasangan negara itu gah dengan empat kemenangan daripada enam pertemuan terakhir tetapi prestasi semasa jelas menunjukkan sebaliknya.

Wakil negara itu turun selaku pilihan keenam kejohanan dan ternyata bergelut dalam set pertama, di mana mereka tewas mudah 21-8.

Peng Soon dan Liu Ying cuba melakar kebangkitan dalam set kedua dengan mengikat pasangan nombor dua dunia itu di kedudukan 13-13 tetapi kehilangan momentum pada penghujung saingan untuk akur menamatkan saingan selama 42 minit itu dengan kekalahan 21-18.

Dechapol dan Sapsiree, dalam pada itu, akan bertemu pilihan utama dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, dalam penentuan kejuaraan esok.



*Kredit foto: Badminton Photo