Berbaki beberapa minggu lagi sebelum Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF 2022 membuka tirai, kegusaran mengenai keselamatan pemain makin meningkat apatah lagi dengan penularan kes COVID-19 di Guangzhou, China, yang tinggi.

Difahamkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menolak kemungkinan untuk membatalkan penyertaan pemain negara dalam pusingan akhir itu.

Namun, ia bergantung selepas badan induk negara itu yang akan mengadakan mesyuarat dengan pihak berwajib bagi mengumpul semua maklumat yang diperlukan.

"SOP (prosedur operasi standard) di Guangzhou memang sangat ketat.

"Pemain perlu berkumpul di Bangkok selama tiga hari -- membuat ujian calitan -- sebelum dibenarkan masuk ke Guangzhou. Ini ditetapkan oleh Kerajaan China.

"BAM tidak akan berkompromi terhadap soal terhadap keselamatan, kami akan memantau dari hari ke hari.

"Minggu ini BWF (Persekutuan Badminton Dunia) akan mengadakan mesyuarat dan saya akan mendapatkan lebih maklumat untuk kami buat keputusan yang lebih tepat," kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Jalil, hari ini.