Novak Djokovic mengesahkan tempat dalam perlawanan akhir Kejohanan Final Jelajah ATP selepas menewaskan Taylor Fritz 7-6, 7-6 dalam aksi separuh akhir di Turin malam tadi.

Pemain Serbia itu, yang sedang berusaha untuk menyamai rekod enam kejuaraan milik Roger Federer dalam kejohanan itu, mengatasi Daniil Medvedev dalam aksi tiga jam kelmarin dan sekali lagi dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan pemain Amerika Syarikat, Fritz.

Djokovic terlebih dahulu mendahului dalam game kelima set pertama tetapi Fritz memberikan respons segeranya untuk mengikat kedudukan 3-3.

Perlawanan kemudian diheret ke penentuan tie-break sebelum pukulan terus Djokovic membolehkannya memenangi set pembukaan itu.

Fritz kemudian memperoleh mata pertama set kedua tetapi pukulan kilasnya kerap menemui kegagalan untuk membenarkan lawan mengikat kedudukan 5-5.

Dalam penentuan tie-break berkualiti tinggi itu, Djokovic akhirnya memperoleh kemenangan selepas bertarung selama sejam dan 54 minit.

Dia seterusnya akan berdepan Casper Ruud bagi penentuan gelaran selepas pemain Norway itu menewaskan Andrey Rublev dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.