Roger Federer berharap mampu kembali menjadi pemain nombor satu dunia tetapi menyedari cabaran yang menantinya.

Pemain tenis kelahiran Switzerland itu berjaya menemui permainan terbaiknya pada permulaan musim 2017, merakamkan 19 kemenangan dan satu kekalahan, menyaksikan dia merangkul gelaran Terbuka Australia, Indian Wells dan Terbuka Miami.

Federer, yang kini berada di kedudukan keempat dunia selepas pulih daripada kecederaan lutut, masih jauh ketinggalan kepada Andy Murray.

Juara grand slam 18 kali itu akan mengetepikan kejohanan gelanggang tanah liat musim ini, sekaligus menyukarkan tugasnya untuk mencapai sasarannya bergelar pemain nombor satu dunia.

"Ia adalah satu tugas yang sukar," kata Federer.

"Sukar kerana saya tidak lagi bermain dalam banyak kejohanan, saya hanya memilih sesetengah kejohanan.

"Bagaimanapun, saya sangat gembira kerana mampu menampilkan permainan terbaik dan bebas daripada sebarang kecederaan."