Frank Lampard dipecat oleh Everton -- tidak sampai setahun mengemudi kelab itu yang sedang bergelut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), menurut Stats Perform.

Lampard dilantik sebagai pengganti Rafael Benitez pada 31 Januari 2022 tetapi tidak sampai 12 bulan kemudian, Everton bertindak mengintai khidmat pengurus lain.

Bekas pengurus Chelsea itu berjaya mengekalkan Everton dalam saingan utama musim lalu menerusi kebangkitan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Crystal Palace dalam perlawanan kedua terakhir.

Namun, Everton terus dibelenggu masalah serupa dalam kempen kali ini dan selepas 20 perlawanan, mereka menduduki tangga ke-19 dengan memungut 15 mata termasuk kekalahan 0-2 kepada West Ham, kelmarin.



Mereka tewas lapan daripada sembilan perlawanan terakhir, sekali gus mencalarkan lagi maruah Lampard yang hanya mengumpul sembilan kemenangan dalam 38 perlawanan dengan 59 kali dibolosi.

Pengurus seterusnya akan menjadi pelantikan tetap ketujuh Everton sejak era Farhad Moshiri yang melabur di kelab itu sejak 2016.