Jerman merekodkan kemenangan bersih dalam tiga perlawanan peringkat Kumpulan B, Euro Wanita 2022 selepas menewaskan Finlad 3-0, sambil Sepanyol akan mengiringi mereka ke suku akhir selepas mengatasi Denmark 1-0 awal pagi tadi.

Juara Eropah lapan kali, Jerman, telahpun mengesahkan status juara kumpulan sebelum perlawanan di Milton Keynes itu tetapi tiada sebarang belas kasihan ditunjukkan pasukan bimbingan Martina Voss-Tecklenburg berkenaan.

Sophia Kleinherne menanduk masuk gol pembukaan Jerman sebelum ke bilik persalinan dan Alexandra Popp menggandakan kelebihan itu dalam babak kedua menerusi gol ketiganya dariapda tiga perlawanan setakat ini.

Nicole Anyomi kemudian menjadikan kedudukan 3-0 buat Jerman, yang akan bertemu Austria di Brentford bagi penentuan ke separuh akhir awal pagi Jumaat ini.

Sepanyol, dalam pada itu, hanya dapat menjaringkan gol tunggal pada lewat permainan untuk menyingkirkan Denmark di Brentford.

Marta Cardona menanduk masuk jaringan kemenangan pada minit ke-90 untuk membawa mereka ke suku akhir dan akan bertemu tuan rumah, England, di Brighton awal pagi Khamis ini.