England merekodkan kemenangan bersih dalam tiga perlawanan Kumpulan A, Euro Wanita 2022 selepas membelasah Ireland Utara 5-0 awal pagi tadi sambil Austria juga akan menyertai mereka dalam suku akhir selepas menewaskan Norway 1-0.

Ketua jurulatih Lionesses, Sarina Wiegman, terlepas perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu gara-gara positif COVID-!9 tetapi pasukan tuan rumah berkenaan sekali lagi mempamerkan aksi kukuh di Stadium St Mary.

Gol separuh masa pertama daripada Fran Kirby dan Beth Mead memberikan England pendahuluan selesa dan menjadi pasukan pertama menjaringkan 10 atau lebih gol di peringkat kumpulan Euro Wanita tanpa dibolosi.

Alessia Russo kemudian menjaringkan gol ketiga England menerusi tandukan gemilangnya selepas seminit dimasukkan pada awal babak kedua sebelum dia menggandakan jaringan peribadinya pada minit ke-53 untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Kelsie Burrows kemudian menutup malam malang buat Ireland Utara dengan jaringan ke gawang sendiri pada lewat permainan.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Norway turun beraksi dengan menyedari hanya kemenangan dapat membawa mereka ke suku akhir selepas dibelasah 8-0 oleh England sebelum ini.

Austria, dalam pada itu, hanya memerlukan keputusan seri untuk meneruskan kemaraan dan mreka berada di depan pada minit ketujuh apabila Nicola Billa menanduk masuk bola ke penjuru gawang.

Kemenangan itu juga menyaksikan mereka akan berdepa juara Kumpulan B, Jerman, dalam penentuan ke separuh akhir di Stadium Komuniti Brentford pada Khamis ini.