Bintang England, Lucy Bronze, menegaskan bahawa terlalu banyak tekanan diletakkan buat kapten pasukannya, sambil mahu memastikan Leah Williamson akan mendapat sokongan sepenuhnya menjelang saingan Euro Wanita 2022 bermula awal bulan depan.

Pertahanan Barcelona, Bronze, berasakan tekanan yang dihadapi Steph Houghton, yang mengetuai pasukan kebangsaan itu sapanjang lapan tahun lalu, terlalu berat untuk ditangani.

Houghton tidak ada bersama pasukan itu menjelang kejohanan edisi kali ini dan pemain Arsenal, Williamson, dipilih sebagai penggantinya untuk memakai lilitan lengan.

Bronze mengharapkan satu pendekatan kolaboratif agar Williamson tidak perlu berubah di atas padang semata-mata untuk mengisi peranan berkenaan.

"Sebagai kapten, semua orang amat mengenali Leah," kata Bronze.

"Adakala semua orang meletakkan terlalu banyak tekanan buat kapten, saya pernah melihat apa yang dilalui Steph sebelum ini.

"Tetapi Leah masih lagi pemain seperti yang kita lihat sebelum ini sepanjang berada dalam skuad England dan dia akan kekal seperti itu buat kami -- seorang yang baik untuk berada di samping kita, seorang yang baik di atas padang.

"Ia akan menjadi momen yang besar buatnya tetapi dia masih sama seperti pemain lain.

"Kami mempunyai ramai pemimpin di atas padang dan ada di dalam skuad ini yang mungkin masih belum turun ke lapangan -- dan amat penting untuk kami sentiasa mengingatinya sebagai satu pasukan.

"Ia bukan hanya terletak di bahu seorang pemain, kesemua 23 pemain harus memikulnya," katanya.

England akan memulakan saingan Euro 2022 dengan menentang Austria pada 7 Julai ini.