Perancis sah mara ke pusingan kalah mati Euro Wanita 2022 sebagai juara Kumpulan D selepas menewaskan Belgium 2-1 di Stadium New York awal pagi tadi.

Perancis mencuri tumpuan dalam saingan peringkat kumpulan edisi kali ini, di mana mereka membelasah Itali 5-1 dalam aksi pembukaan.

Kali ini, mereka memulakan perlawanan kedua juga dengan nota gemilang apabila Kadidiatou Diani menanduk masuk bola umpanan Sakina Karchoui seawal minit keenam.

Bagaimanapun, kedudukan kembali terikat pada minit ke-36 selepas Janice Cayman menemui bola lorongan Tessa Wullaert untuk disudahkan melepasi Pauline Peyraud-Magnin -- percubaan pertama Belgium sepanjang perlawanan itu.

Les Bleus kemudian kembali mendominasi pemainan dan berhasil berada di depan sebelum waktu rehat dengan memanfaatkan kegagalan pertahanan lawan untuk Griedge Mbock Bathy menemui sasaran pada minit ke-41.

Pasukan bimbingan Corrine Diacre itu sepatutnya menambah gol ketiga dalam waktu kecederaan selepas diberikan sepakan penalti susulan insiden bola terkena tangan Amber Tysiak -- yang turut dilayangkan kad kuning kedua -- tetapi sepakan Wendie Renard diselamatkan penjaga gol lawan sebelum sepakan susulannya terkeluar.

Kemenangan itu memastikan kedudukan Perancis sebagai juara kumpulan dengan enam mata sambil Iceland pula berada di tangga kedua dengan dua mata menjelang pertemuan kedua-dua pasukan itu awal pagi Selasa ini.