Steph Houghton tidak tersenarai dalam skuad akhir England yang akan bersaing dalam Euro Wanita 2022 di laman sendiri bulan depan.

Pengurus Lionesses, Sarina Wiegman, menamakan 23 pemainnya malam tadi, termasuk memanggil semula penyerang Manchester City, Chloe Kelly, dan pemain Chelsea, Fran Kirby.

Bagaimanapun, bekas kapten, Houghton, tidak tersenarai selepas mengalami kecederaan Achilles pada Januari lalu.

Pertahanan City itu telah beraksi dalam lima kejohanan utama buat England dan melakukan 121 penampilan peringkat antarabangsa setakat ini.

Wiegman menamakan senarai awal 28 pemain pada bulan lalu, di mana Sandy MacIver, Niamh Charles, Katie Zelem dan Lucy Staniforth turut tidak dinamakan dalam senarai akhir ke kejohanan itu.

Sebagai tuan rumah, England akan memulakan kempen dengan menentang Austria di Old Trafford pada 6 Julai ini.


Senarai pemain England: Mary Earps (Manchester United), Hannah Hampton (Aston Villa), Ellie Roebuck (Manchester City); Millie Bright, Jess Carter (Chelsea), Lucy Bronze (ejen bebas), Rachel Daly (Houston Dash), Alex Greenwood, Demi Stokes (Manchester City), Lotte Wubben-Moy (Arsenal); Fran Kirby (Chelsea), Jill Scott (ejen bebas), Ella Toone (Manchester United), Georgia Stanway (Bayern Munich), Keira Walsh (Manchester City), Leah Williamson (Arsenal); Beth England (Chelsea), Lauren Hemp, Chloe Kelly, Ellen White (Manchester City), Beth Mead, Nikita Parris (Arsenal), Alessia Russo (Manchester United).