England gagal meraih gelaran utama sejak Piala Dunia 1966 selepas Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka ketiga-tiganya gagal menyempurnakan penalti di Wembley awal pagi tadi.

Gareth Southgate menggesa England menggunakan kekecewaan fnal Euro 2020 bertemu Itali sebagai pembakar semangat bagi masa akan datang selepas pengurus Three Lions itu menerima tanggungjawab kegagalan England yang tewas menerusi penentuan penalti.

Skuad kendalian Southgate bermula cemerlang hasil jaringan Luke Shaw tetapi Itali mempamerkan pengalaman di tahap berbeza selepas Leonardo Bonucci menyamakan kedudukan.

Perlawanan diheret ke penentuan penalti, Southgate memperjudikan pemain gantian, Rashford dan Sancho di atas kemampuan menyempurnakan sepakan penalti.

Bagaimanapun, percaturan itu menghukum England selepas kedua-duanya gagal menyempurnakan percubaan sekaligus mereka tewas.

"Ini adalah tanggungjawab saya. Saya memilih mereka yang perlu mengambil penalti. Saya memberitahu pemain-pemain bahawa tiada sesiapa yang bersendirian dalam situasi ini," kata Southgate.

"Ini adalah keputusan saya memberikan penalti itu kepada Saka. Itu tanggungjawab saya sepenuhnya. Bukan dia atau Marcus atau Jadon.

"Marcus dan Jadon merupakan pilihant terbaik kami. Ia adalah satu pertaruhan tetapi jika kami berjudi lebih awal, kami mungkin akan tewas dalam masa tambahan."

England sebelum ini memenangi dua penentuan penalti ketika bertemu Colombia dalam Piala Dunia 2018 dan Switzerland dalam saingan Liga Negara-Negara 2019.