Steve Clarke meluahkan rasa bangganya sebaik penampilan pertama Scotland dalam kejohanan utama sejak 23 tahun lalu ditamatkan sekadar di peringkat kumpulan selepas tewas 1-3 kepada Croatia dalam Euro 2020 awal pagi tadi.

Bagaimanapun, ketua jurulatih berusia 57 tahun itu turut memberikan pandangannya bahawa jurang pengalaman di antara kedua-dua pasukan menjadi pemisah sehinga pasukannya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kerapa Euro 2020.

Dengan hanya memungut satu mata daripada dua perlawanan pertama, Scotland dan Croatia, kedua-duanya memerlukan kemenangan di Hampden Park bagi meneruskan kemaraan ke pusingan 16.

Dan laluan berkenaan menjadi milik pasukan pelawat menerusi gol Nikola Vlasic, Luka Modric dan Ivan Perisic berbalas satu gol daripada Callum McGregor -- gol pertama Scotland dalam Kejohanan Eropah sejak Ally McCoist menjaringkan gol ke atas Switzerland pada 18 Jun 1996.

Bercakap mengenai kekalahan itu, Clarke berkata kepada ITV: "Saya berbangga dengan pemain saya, mereka layak menyertai kejohanan ini buat kali pertama sejak 23 tahun lalu. Ia merupakan satu pencapaian yang besar buat negara ini, pencapaian besar buat kelompok pemain ini.

"Saya fikir anda dapat melihatnya malam ini, pasukan yang berpengalaman dalam kejohanan besar seperti ini, Croatia, menentang pasukan yang baru kali pertama menyertai kejohanan ini selepas tempoh yang panjang.

"Kami dapat mengasai permainan untuk seketika sebelum separuh masa sewaktu kami mendapatkan jaringan dan ia kelihatan menarik tetapi Croatia merupakan pasukan utama dan mereka telah membuktikannya malam ini," katanya.