Manchester City sedang memantau Erling Haaland menjelang pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Leicester City selepas penyerang itu terpaksa dikeluarkan dalam babak kedua ketika menentang Borussia Dortmund, pertengahan minggu ini.

Lantas, kepulangan Haaland ke Signal Iduna Park berakhir awal berikutan demam dan kecederaan ringan.

City bertandang ke The Foxes malam ini dan berpeluang memintas Arsenal -- yang akan menjadi tuan rumah Nottingham Forest, malam esok -- untuk berada di puncak.

Begitupun, masih belum jelas adakah Haaland boleh diturunkan dan bercakap dalam sidang media menjelang lawatan ke Stadium King Power, Pep Guardiola mengulas mengenai mesin gol mereka itu: "Dia berasa makin baik dan kami akan menilai situasinya beberapa jam sepak mula.

"Kami akan lihat sejauh mana perasaannya sebelum kami membuat sebarang keputusan."

Haaland menikmati permulaan karier yang cemerlang dalam EPL sejurus dibeli daripada Dortmund.

Dia telah menyumbangkan 17 gol dalam 11 penampilan EPL musim ini dan sekiranya dia terlepas perlawanan dengan Leicester, Julian Alvarez berkemungkinan besar akan mengambil tempatnya di tengah serangan.




Pemain berusia 22 tahun itu telah menjaringkan dua gol dalam sembilan perlawanan liga buat City tetapi hanya memulakan satu perlawanan.

Walaupun peranannya dalam barisan utama terbatas, Guardiola tetap mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan Alvarez untuk mengisi kekosongan itu.

"Jika Haaland tidak dapat bermain, maka secara semula jadinya Alvarez adalah pilihan pertama untuk menggantikannya. Saya tidak menilai Julian menerusi berapa banyak gol yang telah disumbangkannya," tambahnya.

"Walaupun mungkin tidak seperti Erling yang mampu merakamkan jaringan dan bermain sepanjang 90 minit dalam setiap perlawanan, tetapi dia pasti akan menemui sentuhan pemusnah."