Daley Blind kini bergelar pemain dengan status ejen bebas selepas Ajax mengumumkan penamatan kontraknya malam tadi.

Pemain berusia 32 tahun itu mempunyai tempoh yang cukup lama di Ajax, di mana dia memulakan karier profesionalnya pada 2008 sebelum kembali ke pangkuan kelab itu pada 2018 selepas empat musim beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Manchester United.

Dengan 99 penampilan antarabangsa bersama Belanda, kontrak Blind bersama Ajax sepatutnya tamat pada penghujung musim ini tetapi ia ditamatkan lebih awal secara persetujuan bersama bagi membenarkan pertahanan itu mencari kelab baru menjelang jendela perpindahan pertengahan musim bulan depan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Pegawai Eksekutif Ajax, Edwin Van der Sar, berkata: "Selepas perbincangan sepanjang beberapa hari lalu, kami mencapai kesepakatan dengan Daley untuk menamatkan kontraknya.

"Saya berharap dia dapat mencari kelab lain untuk menamatkan karier gemilangnya."

Blind akan meninggalkan Ajax selepas melakukan lebih daripada 300 penampilan dan memenangi Eredivisie sebanyak tujuh kali -- hanya Johan Cruijff dan Sjaak Swart memiliki rekod kejuaraan lebih banyak bersama Ajax -- masing-masing dengan lapan gelaran Eredivisie.

Dia ditampilkan sebanyak 13 kali daripada 14 perlawanan liga musim ini, dengan 11 daripadanya sebagai kesebelasan utama.