LEEDS UNITED 1 LEICESTER CITY 1

Gol penyamaan lewat permainan Jamie Vardy memastikan Leicester City memperoleh satu mata penting dalam persaingan untuk keluar daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mengikat Leeds United 1-1 di gelanggang lawan awal pagi tadi.

Luis Sinisterra meletakkan Leeds di depan dalam separuh masa pertama tetapi Leicester mendapat ganjaran daripada aksi bertekanan tinggi yang dipamerkan mereka dalam babak kedua apabila pemain gantian, Vardy, menjaringkan gol penyamaan pada 10 minit terakhir.

Patrick Bamford memperoleh peluang keemasan untuk memberikan gol kemenangan buat Leeds pada minit terakhir tetapi sepakannya tersasar dan ia mungkin akan memberikan padah besar buat kelab Yorkshire itu menjelang penghujung musim ini.

Keputusan itu menyaksikan Leicester kini berada di tangga ke-17 liga dengan 29 mata dan dibezakan satu mata daripada zon penyingkiran manakala Leeds pula satu anak tangga di atas dengan 30 mata selepas 33 perlawanan.