Manchester United mempunyai penjaring gol yang mencukupi di samping Marcus Rashford, kata pengurus pasukan itu, Erik ten Hag.

Rashford menjaringkan 27 daripada 88 gol yang dihasilkan United dalam kesemua kejohanan musim ini dengan Bruno Fernandes pula berada di tangga kedua senarai penjaring terbanyak mereka dengan 10 gol.

Masalah kecederaan yang dialami Anthony Martial pula menyaksikan dia tidak dapat banyak beraksi musim ini sambil pemain yang dipinjam sejak Januari lalu, Wout Weghorst, juga masih bergelut mencari sentuhan penyudah dengan hanya menjaringkan dua gol sejak tiba di Old Trafford.

Bagaimanapun, The Red Devils masih mampu menamatkan kemarau gelaran selama enam tahun dengan menewaskan Newcastle United dalam final Piala Liga Inggeris (EFL) pada Februari lalu dan di landasan tepat untuk meraih penamat empat teratas dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus layak menyertai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

Di sebalik sumbangan hebat Rashford di bahagian depan berbanding rakan sepasukannya, Ten Hag berasakan pasukannya mempunyai penjaring gol yang mencukupi untuk menyokong penyerang berusia 25 tahun itu tetapi tidak menolak untuk membawa penyerang baru menjelang musim depan.

"Saya fikir kami memiliki pemain seperti Bruno, Jadon Sancho, seperti Anthony Martial, Scot McTominay dan Antony.

"Kami mempunyai pemain yang mencukupi dengan keupayaan untuk menjaringkan gol, itu sudah pasti.

"Saya bekerja di belakang tabir untuk musim depan tetapi kami juga sedang mengusahakan sesuatu musim ini.

"Jadi, perkara pertama adalah untuk memastikan setiap orang terus meningkatkan cara permainan kami dan itu adalah peluang terbaik untuk menjaringkan banyak gol," katanya.