Rio Ferdinand menganggap dua pemain bintang, Casemiro dan Cristiano Ronaldo, tidak dihormati di Manchester United.

Katanya, kedua-dua pemain senior itu -- yang dipinggirkan daripada kesebelasan utama Erik ten Hag sewaktu diaibkan Manchester City dalam aski 'derby' Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi -- akan berasa tidak dihormati oleh pengurus berbangsa Belanda berkenaan.

United tewas 3-6 kepada pasukan bimbingan Pep Guardiola itu di Stadium Etihad, di mana Erling Haaland dan Phil Foden mencatatatkan hatrik.

Casemiro hanya memulakan satu perlawanan dalam Luga Europa (UEL) sepanjang musim ini sejak menyertai The Red Devils daripada Real Madrid dengan tanda harga £70 juta (RM361.65 juta).

"Casemiro seorang lagi pemain, dia duduk di sana dan berkata 'saya telah memenangi lima Liga Juara-Juara Eropah (UCL)'," kata Ferdinand dalam saluran Youtube, Five, selepas kekalahan United kepada City.

"Dia seorang pemain tengah bertahan yang luar biasa, antara yang terbaik di dunia sebelum dia datang ke Man United.

"Pemain senior ini tidak diberikan peluang, dia tidak dinilai dengan adil. Dia dimasukkan dan bermain dalam UEL menentang pasukan yang biasa.

"Dia tidak diberikan peluang untuk memulakan perlawanan ketika dia cergas dan bersedia.

"Saya terfikir impak yang akan tiba jika ada seseorang sepertinya.

"Saya fikir kita akan lihat mereka (Ronaldo dan Casemiro) bermain tetapi ia mengenai konteks perlawanan seperti apa mereka akan bermain -- mereka mungkin hanya akan bermain dalam UEL pada pertengahan minggu. Itu tidak berapa sesuai untuk mereka.

"Mereka akan duduk di sana dan berkata 'wah, saya kini pemain Rumbelows Cup, pemain Carabao Cup'," katanya.

United berpeluang memperbaiki kelemahan mereka apabila berdepan Omonia Nicosia dalam saingan UEL pertengahan minggu ini sebelum kembali beraksi dalam EPL menentang Everton hujung minggu ini.