CRYSTAL PALACE 1 CHELSEA 2

Graham Potter mengakui Chelsea berkemungkinan terpaksa beraksi dengan 10 pemain seandainya pengadil memilih untuk melayangkan kad merah buat Thiago Silva sewaktu pasukan itu menewaskan Crystal Palace 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park malam tadi.

Dalam babak pertama, sewaktu Chelsea sedang ketinggalan gara-gara jaringan pembukaan Odsonne Edouard, pemain Brazil berusia 38 tahun itu didapati menghentikan bola menggunakan tangannya selepas dia tertiarap, sekali gus menghalang serangan balas yang cuba dilakukan Jordan Ayew.

Pertahanan tengah itu dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Chris Kavanagh, dan walaupun rujukan video bantuan pengadil (VAR) digunakan, keputusan itu tidak berubah dan ia jelas menimbulkan rasa tidak puas hati pengurus Palace, Patrick Viera.

Potter berkata selepas perlawanan itu: "Saya fikir ia sentuhan yang pantas. Dia terselamat disebabkan situasi itu jauh dari gawang dan ia boleh menjadi sebaliknya.

"Ia naib baik, saya boleh faham kekecewaan Patrick, ia 50-50."

Lebih menambahkan keperitan Palace, Silva turut memainkan watak penting ketika membantu jaringan penyamaan Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-38.

Pemain gantian, Conor Galaggher, kemudian meruntun jiwa segenap penyokong Palace apabila dia melepaskan sepakan lencong jarak jauh yang menerjah gawang untuk memberikan Potter kemenangan pertama selaku pengurus Chelsea.

Chelsea seterusnya akan berdepan AC Milan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pertengahan minggu depan sebelum turut melayani kunjungan Wolves berselang dua hari.