Jordan Pickford dan Anthony Gordon hampir pasti akan kekal bersama Everton di sebalik spekulasi perpindahan, kata pengurus pasukan itu, Frank Lampard.

Penjaga gol Everton, Pickford, sekali lagi menyerlah ketika membawa England sehingga ke suku akhir Piala Dunia Qatar baru-baru ini sambil Gordon pula terus dikaitkan untuk menyertai Chelsea sejak jendela perpindahan lalu.

Bagaimanapun, perpindahan ke Stamford Bridge tidak pernah termeterai buat pemain sayap berusia 21 tahun berkenaan, yang telah menjaringkan tiga gol daripada 14 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Tottenham dilaporkan berminat untuk mendapatkan Pickford tetapi Lampard berasakan kedua-dua pemain itu -- di samping Alex Iwobi -- tidak akan meninggalkan Goodison Park dalam masa terdekat.

"Kami berada dalam situasi di mana kami mahu mereka kekal dan mereka juga mahu kekal -- perasaannya sentiasa begitu -- jadi ia sudah hampir pasti," kata Lampard menjelang perlawanan EPL menentang Wolves pada Isnin ini.

"Saya tidak mahu bercakap bagi pihaknya tetapi Jordan amat gembira di kelab ini. Itulah gambaran yang saya terima. Kami adalah kelab besar dengan sejarah dan impian yang besar, dan dia adalah sebahagian besar daripadanya.

"Mungkin saya bertuah kerana dapat banyak beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tetapi apabila saya sudah selesa di sesebuah kelab, saya masuk dengan senyuman di wajah saya setiap hari dan sentiasa bersedia dalam setiap perlawanan.

"Jika Jordan berasa seperti itu dan kami bersependapat mengenai impian yang sama, saya tidak lihat ia sebagai satu masalah," katanya.