Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, tampil mempertahankan cara permainan Gabriel Jesus walaupun penjaring terbanyak pasukan itu kini berisiko digantung perlawanan selepas aksi 'derby' Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham di Stadium Emirates malam ini.

Pemain kebangsaan Brazil itu menjaringkan empat gol sejak tiba daripada Manchester City awal musim ini, sekali gus membantu The Gunners menduduki tangga teratas EPL selepas tujuh perlawanan.

Bagaimanapun, dia juga telah mengumpulkan empat layangan kad kuning dan seandainya dia sekali lagi menerima nasib sama ketika berdepan Spurs, Jesus akan digantung daripada aksi penting menentang Liverpool di laman sendiri hujung minggu depan.

Arteta berasakan pasukannya bernasib agak malang dengan siri kad kuning yang dilayangkan kepada Jesus tetapi beranggapan dengan cara permainan pemain berusia 25 tahun itu, ia adalah sesuatu yang normal untuk dia dipersalahkan.

"Ia satu keseimbangan yang tipis," kata Arteta dalam sidang media sebelum perlawanan itu.

"Ia sifat semula jadinya. Dia berdepan banyak kontak dan dia meletakkan kaki dan badannya secara berlebihan dalam mana-mana situasi.

"Kami agak tidak bernasib baik dengan jumlah kad kuning yang dikenakan ke atasnya. Sesetengah daripadanya memang tidak dapat dielakkan kerana ia selayaknya tetapi benar, kami mahu mengelakkan perkara-perkara seperti itu," katanya.

Arsenal akan turun dalam aksi 'derby' kali ini selaku pendahulu liga dan berkelebihan satu mata berbanding Spurs di tangga ketiga.

Spurs akan menjadi pendahulu liga baru seandainya memenangi perlawanan itu tetapi sekiranya Arsenal meraih tiga mata, mereka akan kekal sebagai pendahulu liga sekurang-kurangnya sehingga minggu depan tanpa perlu memikirkan mengenai keputusan satu lagi aksi 'derby' melibatkan Manchester City dan Manchester United malam esok.