Marcus Rashford akan terlepas beberapa perlawanan bersama Manchester United, demikian disahkan pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Rashford mengalami kecederaan otot ketika United menewaskan Everton 2-0 hujung minggu lalu.

United mengesahkan bahawa penyerang itu bukan hanya akan terlepas perlawanan suku akhir pertama Liga Europa (UEL) menentang Sevilla awal pagi esok, bahkan dia juga akan terlepas beberapa perlawanan lain selepas itu.

Pemain berusia 25 tahun itu sedang menikmati musim terbaiknya bersama The Red Devils, di mana dia menjaringkan 28 gol daripada 47 penampilan tetapi kini perlu berehat untuk beberapa perlawanan.

Kelab itu berkata: "Marcus Rashford tidak dapat beraksi dalam perlawanan suku akhir UEL menentang Sevilla pada Khamis ini (awal pagi Jumaat) kerana kecederaan otot.

"Penyerang itu keluarkan pada minit ke-80 ketika kemenangan 2-0 ke atas Everton di Old Trafford pada Sabtu lalu dan segera menuju ke bilik persalinan untuk mendapatkan rawatan.

"Ujian lanjut mendapati Marcus tidak dapat beraksi dalam beberapa perlawanan tetapi dia dijangka akan dapat kembali sewaktu musim ini masih berjalan."

Pengurus United, Erik ten Hag, berkata dalam laman web pasukan itu bahawa dia yakin pemain lain mampu menggalas tugas sebagai penjaring gol dengan antara yang memiliki rekod jaringan terbaik selepas Rashford ialah Bruno Fernandes (10 gol), Antony (7), Anthony Martial (7) dan Fred (6).

"Kami memiliki ramai pemain dalam skuad ini yang boleh menjaringkan gol.

"Saya fikir kami memiliki penjaring gol seperti Bruno, Jadon Sancho, Anthony Martial, Scott McTominay dan Antony.

"Kami memiliki pemain yang mencukupi dan mampu menjaringkan gol, itu sudah pasti," katanya.

Selepas menghadapi Sevilla di Old Trafford, United kemudian akan bertandang ke laman Nottingham Forest bagi saingan EPL hujung minggu ini sebelum aksi timbal balik di gelanggang Sevilla minggu depan.