LIVERPOOL 3 BRIGHTON & HOVE ALBION 3

Liverpool tidak layak untuk mendapatkan tiga mata ketika menentang Brighton & Hove Albion, kata pengurus pasukan itu, Jurgen Klopp, selepas aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield malam tadi berakhir 3-3.

Leandro Trossard menjaringkan dua gol dalam 17 minit pertama Roberto De Zerbi sebagai pengurus The Seagulls tetapi tetapi tuan rumah mula bangkit menerusi dua jaringan Roberto Firmino dan gol sendiri Adam Webster untuk The Reds mendahuhului pada pertengahan babak kedua.

Bagaimanapun, Trossard melengkapkan hatriknya pada tujuh minit terakhir untuk memastikan pasukannya tidak pulang dengan tangan kosong manakala Liverpool pula terus bergelut dengan permulaan perlahan musim ini.

"Perlawanan ini mempunyai beberapa kisah berbeza. Ada kisah mengenai mengapa kami dibolosi dua gol awal, ada kisah mengenai bagaimana kami bangkit dalam perlawanan ini dan kemudian, ada kisah tentang bagaimana kami mensia-siakannya.

"Brighton memang pasukan bola sepak yang amat baik, mereka pasukan sebenar. Ia merupakan formasi yang berbeza. Adakah kami terkejut? Ya, sedikit.

"Tetapi kami sudah ketinggalan 2-0 apabila dapat menyedarinya. Kami menjaringkan gol melalui serangan balas.

"Kami mungkin boleh menang tetapi adakah kami layak? Saya sebenarnya tidak pasti. Brighton lebih layak mendapatkan sesuatu," katanya.