Darwin Nunez berkata Liverpool "tidak boleh berehat" selepas mereka membelasah Manchester United 7-0 dalam saingan Liga Perdana (EPL) minggu lalu dan perlu berwaspada menjelang perlawanan menentang Bournemouth malam ini.

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu melalui kempen yang agak mencabar musim ini tetapi kebangkitan ketika menewaskan seteru tradisi itu di Anfield telah menghidupkan kembali peluang mereka untuk memburu penamat empat teratas EPL.

Nunez telah menghasilkan 14 gol dan empat bantuan jaringan daripada 31 penampilan bersama Liverpool sejak menyertai pasukan itu daripada Benfica musim lalu, termasuk dua gol ketika menewaskan United.

Liverpool akan bertandang ke laman Bournemouth selepas membelasah The Cherries 9-0 dalam pusingan pertama di Anfield awal musim ini tetapi penyerang kebangsaan Uruguay itu sedar mereka tidak boleh memandang enteng lawan berkenaan.

"Kami tidak boleh berehat hanya kerana kami menewaskan Manchester United 7-0," katanya dalam laman web rasmi Liverpool.

"Kami perlu melaluinya dengan mentaliti sama dan dengan itu, kami akan memperoleh kemenangan yang serupa dan membawa pulang tiga mata -- di mana ia merupakan apa yang kami mahukan untuk memanjat kedudukan liga.

"Dalam perlawan liga pertama menentang Bournemouth, kami menewaskan mereka 9-0 jika tidak silap saya tetapi kali ini, ia perlawanan yang berbeza. Kami perlu ke sana dan mencuba untuk menewaskan mereka sekali lagi.

"Ia sama seperti situasi dengan Menchester United, kami tewas kepada mereka (1-2 di Old Trafford) tetapi ia perlawanan yang berbeza selepas itu dan kami dapat menjaringkan tujuh gol.

"Itulah bola sepak -- perkara boleh menjadi sebaliknya. Kami perlu ke sana dan menjadi pasukan yang kuat dan dengan mentaliti positif," katanya.