TOTTENHAM HOTSPUR 1 LIVERPOOL 2

Mohamed Salah akan diingati selaku antara penyerang terbaik pernah wujud, kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

Salah menjaringkan dua gol untuk memastikan kemenangan 2-1 Liverpool ke atas Tottenham dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di London awal pagi tadi, sekali gus menghimpunkan sembilan jaringan daripada lapan penampilan terakhirnya dalam kesemua kejohanan musim ini.

Pemain berusia 30 tahun itu berdepan permulaan perlahan dalam kempen kali ini, di mana dia dilihat bermain terlalu lebar di bahagian sisi walaupun mengetuai senarai pencipta peluang terbanyak sepanjang beberapa minggu awal EPL.

Bercakap dalam sidang media selepas perlawanan itu, Klopp memberikan pujian khas buat penyerangnya itu, yang kelihatan sudah menemui semula sentuhan pemusnahnya.

"Walaupun dengan permulaan perlahan, dia paling banyak terlibat dengan peluang di Eropah, dalam bolasepak tetapi kami tidak dapat memanfaatkannya atau dia sendiri tidak dapat memanfaatkannya.

"Ia boleh berlaku kepada mana-mana penyerang, ia sememangnya satu fasa yang normal.

"Semua orang tahu, apabila anda mengimbau kariernya sepanjang empat, lima atau enam tahun lalu, semua orang akan mengingatinya sebagai antara penyerang terbaik yang anda pernah lihat kerana jumlahnya amat tidak masuk akal.

"Malam ini, apa yang paling menyenangkan, dia menjaringkan dua gol dan kemudian dia beraksi seperti dia sememangnya tonggak pasukan ini.

"Saya tidak terkejut dengannya tetapi ia amat penting kerana dia juga akan mendapat jawapan daripada segala persoalannya.

"Saya amat gembira dengannya, prestasi terbaiknya dan dia menunjukkan sikap yang amat luar biasa malam ini," katanya.