Jurgen Klopp menggesa Liverpool untuk kekal fokus dengan tugasan mereka untuk memburu slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan melupakan kemenangan besar ke atas Manchester United.

Kemenangan besar 7-0 di Anfield dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu memberikan lonjakan semangat buat pemain Liverpool untuk memburu penamat empat teratas dan berharap rentak itu dapat diteruskan menjelang aksi liga menentang Bournemouth malam ini.

Ini kerana kemenangan dalam perlawanan itu akan menyaksikan mereka memintas Tottenham di tangga keempat.

Liverppol akan bertandang ke South Coast dengan berbekalkan kemenangan besar itu tetapi Klopp menjelaskan bahawa kejayaan itu sudah berakhir dan tidak lagi penting.

"Kemenangan 7-0 itu agak aneh, ia bagus dan kami akan kembali selepas 10-15 tahun untuk menyaksikan semula perlawanan itu," katanya dalam sidang media.

"Mungkin saya akan membeli tiket untuk perlawanan 'derby' ini pada masa akan datang dan orang di sebelah saya akan ingat bahawa kami pernah melakukannya tetapi ia sudah berakhir.

"Ia sesuatu yang penting tetapi ia tidak lagi penting hari ini. Ia perlawanan yang hebat tetapi kami perlu berjalan ke depan," katanya.