Jurgen Klopp memuji Liverpool selepas kembali mempamerkan aksi terbaik dengan membelasah Leeds United 6-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Elland Road awal pagi tadi.

Mohamed Salah dan Diogo Jota menjaringkan gol berganda sambil Cody Gakpo dan Darwin Nunez turut menemui sasaran dalam perlawanan itu.

Kemenangan itu menamatkan rentetan lima perlawanan tanpa kemenangan dalam kesemua kejohanan buat The Reds untuk pasukan bimbingan Klopp itu kini hanya dibezakan lima mata dengan pasukan di tangga kelima, Tottenham, dalam usaha merebut slot kelayakan ke saingan Liga Europa (UEL) musim depan.

Pengurus Liverpool itu menganggap keamatan yang dimiliki pasukannya menjadi kunci mereka dapat menamatkan rekod buruk itu.

"Saya fikir ia adalah aksi terbaik kami sepanjang musim ini daripada segenap persepektif dan aspek permainan," katanya kepada Sky Sports.

"Saya fikir kami dipaksa melakukan banyak kesilapan tetapi ia permainan yang amat-amat bagus, gol yang luar biasa dan tekanan untuk melakukan serangan balas -- ia aksi terbaik kami sejak sekian lama.

"Perkara yang saya paling suka ialah pada minit ke-92, kami masih mengejar bola di kaki pemain Leeds. Saya amat gembira dengan perlawanan ini," katanya.