Erik ten Hag percaya Manchester United mampu untuk menewaskan Manchester City dalam aksi 'derby' Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad tetapi menegaskan bahawa fokus mereka adalah untuk mengekang seluruh pasukan itu dan bukan hanya penyerang sensasi, Erling Haaland.

Haaland, yang menyertai City daripada Borussia Dortmund musim panas lalu, telah menjaringkan 11 gol daripada keseluruhan 23 yang dijaringkan pasukannya dalam EPL musim ini.

Pemain berusia 22 tahun itu kelihatan sudah menyesuaikan diri dengan keadaan bola sepak di England dan akan berdepan United buat kali pertama malam esok.

Dia sudah pasti akan menjadi ancaman terbesar buat gandingan Raphael Varane dan Lisandro Martinez, yang menjadi kunci kepada kebangkitan yang direncanakan Ten Hag buat United musim ini, tetapi pengurus berbangsa Belanda itu enggan terlalu memikirkan cara spesifik untuk menghalang penyerang berkenaan.

"Kami tidak bermain menentang Haaland, kami menentang Manchester City," kata Ten Hag, yang dinobatkan sebagai pengurus terbaik EPL bagi bulan September, dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Mereka satu pasukan, lebih daripada 11 pemain tetapi kami juga yakin dengan kemampuan kami dan jika kami dapat beraksi sebagai satu pasukan, sama ada ketika mengawal permainan atau ketika tidak dapat mengawal pemainan, kami boleh menewaskan mana-mana lawan.

"Itulah keyakinan yang kami perlu bawa apabila turun beraksi, apabila kami memulakan permainan dan kami perlu meneruskannya sepanjang 90 minit esok, ia amat jelas," katanya lagi.