Joao Moutinho dan Diego COsta akan meninggalkan Wolves sebaik kontrak mereka tamat manakala Adama Traore pula masih dalam perbincangan untuk melanjutkan kesepakatan bersama kelab itu.

Pengarah sukan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, Matt Hobbs, mengesahkan bahawa pemain Portugal berusia 36 tahun, Moutinho, dan penyerang Sepanyol kelahiran Brazil, Costa, 34, akan meninggalkan mereka pada penghujung bulan ini.

Hobbs berkata dalam laman web rasmi kelab itu: "Joao akan pergi selaku antara pemain terbaik yang pernah kami ada, itu pada pandangan saya.

"Dia merupakan sebahagian penting pasukan ini selama dia di sini. Kejayaan kami sepanjang empat atau lima tahun lalu, dia merupakan faktor pentingnya.

"Jadi, dia kini akan pergi dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga daripada kelab ini."

Joao menyertai Wolves dari Monaco pada Julai 2018 dan telah melakukan 212 penampilan bersama The Wanderers.

Mengenai pemergian Costa, Hobbs menambah: "Ia merupakan sesuatu yang natural untuk kami membawa haluan masing-masing kerana dia memiliki kotrak setahun. Terdapat perbincangan dalaman dan kami rasakan ini merupakan keputusan yang betul."

Traore, dalam pada itu, kelihatan memiliki masa depan yang cerah di Stadium Molineux, di mana pengurus, Julen Lopetegui, berhasrat untuk mengekalkan pemain berusia 27 tahun berkenaan dan perbincangan mengenai kontraknya sedang berjalan.