CRYSTAL PALACE 0 NEWCASTLE UNITED 0

Eddie Howe berkata Newcastle United telah mencapai "jangkaan tinggi" yang telah mereka tetapkan sendiri walaupun sekadar seri tanpa jaringan dengan Crystal Palace dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park awal pagi tadi.

Newcastle jelas pasukan yang lebih baik biarpun beraksi di laman lawan, di mana mereka mendaftar 16 percubaan berbanding enam yang dilakukan Palace -- tujuh daripadanya merupakan percubaan tepat.

Bagaimanapun, mereka gagal menemui gol pembukaan walaupun pungutan satu mata itu masih dapat melonjakkan mereka ke tangga ketiga EPL untuk memintas Manchester United.

Keputusan seri itu juga menyaksikan Newcastle kini telah melalui 15 perlawanan liga tanpa sebarang kekalahan (sembilan menang dan enam seri), rekod yang bermula sejak kekalahan terakhir kepada Liverpool pada Ogos lalu -- rekod tanpa kalah terpanjang dalam sejarah kelab itu dalam saingan liga divisyen utama.

Ditanya adakah keputusan itu merupakan satu kerugian dan bukannya satu keuntungan buat Newcastle, Howe berkata kepada BBC Sport: "Saya tidak mempunyai masa untuk memikirkannya. Benarkah seperti itu? Saya tidak tahu jawapannya.

"Saya amat gembira dengan pasukan ini. Ini adalah tempat yang amat sukar dalam kunjungan kami. Kami menjadi diri sendiri dan memperoleh momen dan peluang untuk menjaringkan gol, cuma kami tidak dapat menyudahkannya.

"Mungkin ia bukan peluang keemasan yang anda perlu menjaringkan gol tetapi ia melibatkan banyak peluang yang baik, di posisi yang amat baik, di mana kami tidak melakukan hantaran terakhir dengan betul.

"Ia satu kekecewaan buat pasukan ini. Saya dapat rasakannya. Kami memiliki jangkaan yang tinggi ke atas diri kami. Saya rasa kami mendominasi untuk tempoh yang panjang, mereka bertahan dengan amat baik," katanya.