Reece James akan terlepas kunjungan Chelsea ke laman Leicester City malam ini kerana masalah kesihatan tetapi pengurus pasukan itu, Graham Potter, berharap N'Golo Kante dapat kembali beraksi minggu depan selepas berehat panjang.

James berdepan kekecewaan sepanjang beberapa bulan ini, di mana dia hanya beraksi sebanyak 11 kali dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan terlepas kempen Piala Dunia bersama England kerana kecederaan lutut menjelang kejohanan itu.

Pertahanan sayap itu juga tidak dapat beraksi ketika Chelsea menewaskan Leeds United 1-0 hujung minggu lalu kerana kecederaan paha tetapi dia diturunkan ketika Chelsea menyingkirkan Borussia Dortmund dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Khamis lalu.

Perkembangan terbaru menyaksikan James akan terlepas kunjungan Chelsea ke Stadium King Power sambil status seorang lagi pemain kebangsaan England, Raheem Sterling, juga masih samar.

"Reece tidak sihat dan tidak berlatih hari ini, jadi dia tidak dapat menyertai perlawanan esok," kata Potter dalam sidang media menjelang perlawanan malam ini.

"Raheem berasa kesakitan di pahanya, ia lebih rasa lebih ketat, jadi dia juga masih belum pasti dapat diturunkan esok," katanya.

Kante dan Thiago Silva antara pemain yang terpaksa berehat panjang musim ini dan kali terakhir Kante mewakili Chelsea adalah ketika mereka terikat 2-2 dengan Tottenham pada Ogos lalu, di mana dia mengalami kecederaan paha, manakala Silva pula dilanda kecederaan lutut dan dijangka berehat sehingga bulan depan.

Potter, bagaimanapun, berasakan Kante akan dapat kembali memperkuatkan pasukannya menjelang aksi menentang Everton di laman sendiri minggu depan.

Ditanya sama ada Kante dapat beraksi menentang Leicester, Potter berkata: "Tidak, dia tidak dapat beraksi. Dia masih memerlukan sedikit masa untuk kembali, kami menyasarkan dalam perlawanan menentang Everton tetapi malangnya dia tidak akan bermain esok.

"Perkara paling penting buat mereka (Kante dan Silva) adalah untuk memastikan mereka benar-benar pulih daripada kecederaan. Lebih ramai pemain terbaik yang kami miliki akan menjadi lebih baik," katanya.