Penyerang Arsenal, Bukayo Saka, selesai menandatangani kontrak baru jangka panjang bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Pemain kebangsaan England berusia 21 tahun itu menjaringkan 14 gol dalam kesemua kejohanan musim ini selain turut menghasilkan 11 bantuan jaringan.

Saka berkata dalam laman web rasmi kelab itu: "Saya amat-amat gembira. Terdapat banyak cakap-cakap dan ia sudah berlarutan buat seketika tetapi saya kini berada di sini.

"Saya fikir ini adalah kelab yang betul, tempat yang betul untuk melakukan langkah seterusnya. Ia sebuah kelab yang indah -- lihatlah di mana kita berada sekarang.

"Bagi saya, ia tentang mencapai impian peribadi saya -- sebanyak mana saya telah mendorong diri saya dan apa yang saya mahukan dari diri saya dalam setiap perlawanan, minggu bersilih ganti.

"Kemudian saya memiliki orang di sekeliling saya daripada segi kekeluargaan dan apabila saya hadir ke padang latihan, ia adalah rakan sepasukan dan staf kejurulatihan saya.

"Saya fikir saya memiliki segala-galanya untuk menjadi pemain terbaik yang saya boleh dan disebabkan itu, saya gembira untuk kekal berada di sini bagi masa yang panjang kerana saya benar-benar percaya yang kita boleh mencapai perkara-perkara besar," katanya.

Saka melakukan penampilan pertama bersama The Gunners pada November 2018 dan sejak itu, dia telah menyarung jersi merah putih itu sebanyak 178 kali.

Dia menambah: "Saya dapat lihat banyak perubahan. Saya dapat lihat pasukan dan kelab ini berkembang dan satu perkara yang orang di sekeliling kita boleh berasa teruja adalah kita sedang menuju ke arah yang betul.

"Masa sedang memihak kita. Anda dapat lihat pasukan kita dan pemain muda yang kita ada. Kami bernafsu dan kebanyakan kami masih belum memenangi trofi di Arsenal, jadi kami mahu mencapai sesuatu yang besar. Jika anda melihat cara kami bercakap, kami mahu menang dan kami mahu menang di sini.

"Sudah sekian lama kelab ini tidak bertanding dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL). Saya tidak sabar untuk melalui malam Selasa dan Rabu di Stadium ini. Suasananya akan menjadi istimewa," katanya.