Liverpool dan Everton didakwa oleh Persatuan Bolasepak England (FA) atas dakwaan melakukan "konfrontasi besar" dalam aksi 'Derby Merseyside' awal pagi Selasa lalu.

The Reds bimbingan Jurgen Klopp menang 2-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Anfield, di mana Mohamed Salah dan Cody Gakpo muncul sebagai penjaring.

Perlawanan itu kelihatan dapat ditangani dengan baik menuju ke penghujung sehinggalah insiden pada minit ke-86 mengubah segala-galanya.

Bola terkena tangan Andrew Robertson tetapi dia meneruskan permainan selepas wisel dibunyikan sebelum menendang bola ke arah kawasan gol Everton, di mana The Toffees menganggapnya sebagai satu tindakan yang sengaja dilakukan untuk melengah-lengahkan permainan.

Pemain Everton segera mengeremuni Robertson, yang kelihatan ketawa di depan Jordan Pickford sebelum lehernya dirangkul oleh Conor Coady.

Insiden itu kemudian melibatkan lebih ramai pemain lain -- termasuk yang duduk di bangku pemain simpanan -- dan mencetuskan satu konfrontasi besar tetapi hanya Robertson dan Pickford dilayangkan kad kuning.

FA mengesahkan bahawa prosiding disiplin sudah dimulakan dengan berkata dalam satu kenyataan: "Liverpool dan Everton didakwa atas dakwaan satu konfrontasi besar pada minit ke-86 perlawanan Liga Perdana Inggeris pada Isnin, 13 Februari lalu (awal pagi Selasa lalu).

"Kedua-dua kelab itu didapati gagal memastikan pemain dan/atau pemain simpanan mereka mengawal diri dengan cara yang teratur dan/atau mengelak daripada melakukan tindakan provokasi.

"Liverpool dan Everton mempunyai tempoh sehingga Isnin, 20 Februari ini untuk memberikan maklum balas terhadap pertuduhan ke atas mereka."